Tindakan Keganasan
Maklumat mengenai ...

Pengeboman pesawat Pan Am 103

Lockerbie, Scotland | 21 Disember 1988

Pada 21 Disember 1988, pesawat Pan Am 103, sebuah Boeing 747 di dalam perjalanan dari London, lapangan terbang Heathrow, ke lapangan terbang JFK di New York, musnah apabila sebutir alat letupan, yang tersembunyi di dalam sebuah bagasi, meletup di bahagian kargo pesawat. Letupan itu menyebabkan kesemua 259 penumpang dan anak kapal, termasuk 189 orang rakyat Amerika serta 11 orang tempatan di pekan Lockerbie di Scotland terbunuh.

Pada November 13, 1991, ejen kerajaan Libya, Abdel Basset Ali Mohmed al-Meghrahi dan Al Amin Khalfia Fhimah, “serta mereka yang tidak dikenali oleh Juri Besar,” didakwa di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat untuk District of Columbia (DC) bagi Konspirasi untuk Memusnahkan sebuah Pesawat Amerika Syarikat, Membunuh Warga Amerika Syarikat, dan dakwaan letupan yang berkaitan. Esoknya, Tuan Hakim Advokat mengumumkan bahawa al-Meghrahi dan Fhimah telah didakwa di Scotland kerana jenayah konspirasi dan membunuh.

Pada 31 Januari 2001, Abdel Baset Ali Mohamed al-Megrahi didapati bersalah membunuh 270 orang mangsa di dalam insiden Pesawat Pan Am 103 di udara dan di darat oleh panel tiga orang hakim dari Mahkamah Tinggi Scotland. Beliau menerima hukuman penjara seumur hidup dan dikehendaki menjalani hukuman selama 27 tahun sebelum boleh meminta parol. Rakannya yang disyaki, Fhimah, didapati tidak bersalah dan diterbangkan ke Tripoli, Libya. Pada 14 Mac 2002, hukuman al-Meghrahi disahkan oleh panel lima orang hakim lain dari Mahkamah Tinggi Scotland, dan beliau dipindahkan ke Scotland untuk memulakan hukuman penjaranya.

Berikutan permohonannya kepada Suruhanjaya Kaji Semula Kes-Kes Jenayah Scotland (SCCRC) pada Jun 2007, al-Meghrahi dibenarkan untuk memfailkan rayuan baru. Sementara menunggu rayuan itu dikaji, pada September 2008 al-Meghrahi diserang penyakit barah prostat. Pada Ogos 20, 2009, berdasarkan nasihat Perkhidmatan Perubatan Penjara Scotland yang beliau mempunyai kurang dari tiga bulan untuk hidup, dan setelah al-Meghrahi menarik balik rayuan sebelum Mahkamah membuat keputusan, permohonan al-Meghrahi untuk dilepaskan atas dasar belas kasihan dibenarkan oleh Setiausaha Kabinet untuk Keadilan Scotland. Termasuk waktu ketika ditahan sebelum perbicaraan, al-Meghrahi telah menjalani hukuman lebih 10 tahun dari hukuman seumur hidupnya apabila beliau dilepaskan. Sehingga kini, al-Meghrahi dan Fhimah dipercayai masih berada di Tripoli.

Jabatan Negara Amerika Syarikat, yang mempercayai bahawa al-Meghrahi dan Fhimah tidak bertindak secara persendirian di dalam menyembunyikan bom di dalam Pesawat 103 Pan Am, telah menyediakan hadiah sehingga AS$5 juta bagi maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan dan/atau hukuman mereka yang bertanggungjawab mengebom Pesawat 103 Pan Am dan pembunuhan 270 orang mangsa.